Sebahagian Hikmah Sepanjang Bersama Almarhumah Siti Hajar
saya copy dari http://mujahidah2u.blogspot.com/2013/01/rentetan-pengalaman-di-hari-hari.html
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang
Assalamualaikum wbt dan selamat sejahtera buat para pembaca yang saya hormati sekalian.
Segala puji bagi Allah swt atas segala-galanya yang telah diberikan kepada kepada kita terutama nikmat iman dan nikmat Islam. Mintalah kepada Allah swt tanpa jemu agar kita dihidupkan dengan iman, dimatikan dalam iman dan dimasukkan ke syurgaNya dengan iman. Iman, iaitu kepercayaan dan keyakinan yang dilafazkan dengan lisan, dibuktikan dengan amalan zahir dan membenarkan dengan hati. Selawat dan salam atas junjungan besar kita, Nabi Muhammad saw.
TANGGUNGJAWAB DAN KASIH SAYANG
Pada suatu malam, sedang saya mengulangkaji pelajaran di meja belajar, maklumlah ketika itu masih dalam minggu peperiksaan, mendapat panggilan telefon,
“Nadia, Nadia ada paper tak esok?”
“Takde kak, Cuma nanti bila dah start berderet. Kenapa kak? Ada apa-apa ke?”
“Nadia, tasnim accident. Nak minta tolong Nadia ke sana boleh?”
Terdiam seketika.. menelan air liur.. ‘Adik aku.’ Tasnim merupakan salah seorang ahli Badar UTeM yang komit dan sangat rapat dengan saya. Persoalan dari ahli rumah tentang dengan siapa tasnim accident, mereka naik apa, kemalangan langgar apa, dijawab dengan wajah yang risau tanpa kata. Linda, sahabat saya diminta untuk sama bersiap menemani saya. Tanpa banyak soal dan tanya, dituruti sahaja.
“Nadia boleh pergi hospital ke? “Tak kisah ke?”
“Takkan kes camni ana nak berkira kak?” Respon saya begitu spontan.
SETIAP YANG BERLAKU ADA HIKMAHNYA
Setibanya di hospital, kami ke sana ke mari mencari adik-adik kami. Seorang wanita bertudung labuh dan sopan berbaju kurung menghampiri kami.
“Dari UTeM ke?”
“Ye makcik. Makcik?”
“Makcik mak Hajar.” Ujar makcik memperkenalkan diri. “Ada di zon merah katanya.” Berkerut dahi saya.
“Zon merah? Teruk tu.” Bisik Linda (ada yang panggil Dayang) menghampiri saya. Abg Rahman (yang merupakan mantan YDP Badar UTeM sesi 2010/2011) yang telah menguruskan mereka sedari awal mereka diturunkan dari ambulan meminta diri kerana ada peperiksaan esok harinya. Malam itu juga, Ibu Solehah datang dari Terengganu, baru lepas seminar terus ambil flight ke KL dan terus bergegas ke sini bersama dengan ayahnya dan beberapa orang ahli keluarga. Ayah Siti Hajar kelihatan gelisah, ke hulu dan ke hilir. Ibu ayah Azizue juga datang ke hospital beberapa hari selepas itu dari Terengganu, kemudian dibawa pulang anaknya. Tasnim yang mengalami kecederaan paling ringan malam itu kami hantar pulang ke hostel atas permintaan dia. Kawasan tempat menunggu kecemasan kelihatan ramai orang dengan kehadiran sahabat-sahabat dari UTeM dan luar UTeM. Malam itu, hanya tinggal Azizue dan Hajar yang dinantikan berita.
Sekitar jam 8pagi sehari selepas kejadian berlaku, saya datang semula ke hospital. Terus ke zon merah hospital, dimaklumkan Siti Hajar telah dipindahkan ke wad icu Mawar. ‘Allahuakbar, kenapa sampai icu?’ Mujurlah pagi itu bersama dengan kakmiza. Kakmiza menemai Azizue dan saya bergegeas ke icu. Sampai di icu, “Siti Hajar? Awak siapa? Doktor cari waris.” Kata nurse di situ.
“Makcik pergi mana?” Saya mengomel sendirian. “Takpe la, saya pergi cari sebentar.”
Tak tahu saya nak gambarkan bagaimana situasi makcik masa saya jumpa dia di tempat menunggu kecemasan. Masih tersenyum, tetapi, tetapi, tetapi, jalannya, cara cakapnya, jelas menunjukkan dia tidak tidur sepanjang malam, semestinya tidak juga makan.
“Makcik.. mari ikut saya meh, doktor cari…” Diikutkan sahaja mana arah yang saya pimpimkan.
KASIH AYAH TIDAK DILUAH DENGAN KATA-KATA
Selesainya semua paper, saya bersama beberapa orang sahabat mengambil barang-barang Siti Hajar di hostel untuk diserahkan kepada keluarganya. Janji untuk berjumpa dan pindahkan barang dari kereta ke kereta di hospital sahaja.
“Assalamualaikum pakcik, saya dah on the way ke hospital. Pakcik di mana ya?” saya memulakan bicara di telefon dengan salam.
“Pakcik ada kat wad ni. Taukan wadnya?” Seakan meminta saya hadir. Asalnya tidak berhajat untuk naik berziarah, kerana ada urusan yang ingin dikejarkan selepas itu. Namun hati saya kuat ingin datang juga ke wad walhal jam ketika itu sudah menunjukkan pukul 7 malam, menunjukkan masa melawat telahpun tamat. Dengan izin Allah, makcik guard buat tak nampak sahaja masa saya masuk, dan tiada pula yang meminta saya keluar. Apakah yang Allah nak tunjukkan sebenarnya?
Langkah terhenti saat melihat Siti Hajar dari jauh. Hati tertanya apa yang berlaku? Penuh dengan tong-tong gas di tepi-tepi katil. Update dari mesej makcik gagal untuk buat saya gambarkan situasI yang saya lihat depan mata ketika itu. Mungkin kerana itulah juga pakcik minta saya datang. Dengan laju saya melangkah mendapatkan makcik. “Dia tak boleh nak bercakap.” Suara makcik seakan tegas. Pakcik pula minta saya bercakap dengan Hajar, seboleh-boleh minta saya duduk dekat dengan Hajar di sebelah katil, saya turutkan dengan perasaan serba salah. Saya menelan air liur menahan rasa sebak yang memenuhi dada. ’Nadia kau jangan nangis Nadia..’ seakan memujuk diri. Saya senyum sungguh-sungguh, memandang matanya seolah memberi semangat yang sedia ada kuat.
Saya usap dahi Hajar. Saya nampak dia menarik nafas dengan sungguh-sungguh. Makcik kata dia sedang melawan rasa sakit. Nampak wajahnya begitu semangat walaupun telah dililit dengan wayar-wayar.
“Hajar kena kuat tau.” Saya tersenyum seolah memberi kata semangat. Itu sahaja yang terucap. Kalau tidak, saya yang menangis di situ rasanya. Saya pandang pakcik dan memberi isyarat untuk ke kereta. Allah mudahkan urusan untuk membantu keluarga ini. Banyak sangat. Kebetulan kereta diparking rupanya searas sahaja. Masa pindahkan kereta, suara pakcik lemah dengar dia jawab telefon. ‘Prestasi dia makin menurun.’ Jawab pakcik pada yang menelefon.
Selesai angkat barang, saya minta diri. “Terima kasih ye. Terima kasih tolong Hajar.” Nampak airmata pakcik mengalir, suara terketar. Saya tak tahan… tunduk dan bergerak cepat. Dah tak tahan dah masa. Airmata dah cukup takung. Sambil memandu saya menangis tersesak-esak.
PENGORBANAN AYAH DAN IBU
Makan minum mereka tidak terjaga, bayangkan pakcik tidak makan ubat darah tinggi setelah berhari-hari bermalam dan menghabiskan masanya di hospital. Malah nama ubat juga dia terlupa. Melihatkan wajah pakcik, melihatkan wajah makcik, saya teringat ayah dan ibu saya.
Ya Allah, adakah kerana ini Kau minta kami sebagai anak jangan sekalipun berkata ‘ah’ kepada ayah dan ibu kami? Walau mereka teruk? Walau mereka buat maksiat? Tidak layakkan kami membenci mereka? Ya Allah….
Malam saat diberitahu untuk ‘melepaskan’ anaknya, pakcik memberi pelbagai alasan. Nanti atok marah, nanti itu.. nanti ini.. lebih rela dia menanggung anaknya yang sudah sepastinya lumpuh daripada kehilangan? Begitu berat gambaran untuk dia melepaskan Hajar pergi. Allahuakbar.. Allahuakbar.. Kalaulah saya ditempat Hajar saat itu, 1001 penyesalan saya gambarkan. Betapa saya bukan seorang anak yang baik.. menanti penuh sabar.. dia pasti seorang anak yang baik. Sehingga makcik menyatakan syukur kerana diberi pinjaman Allah dengan seorang anak yang baik selama 20 tahun. Kita? Adakah selama mana umur kita hidup sudah cukup kita menjadi anak yang baik kepada ayah dan ibu kita?
Berbuat baik kepada ayah dan ibu merupakan amanah. Jawatan kita sebagai seorang anak adalah amanah. Kita yang masih hidup, salah satu jawatan kita adalah sebagai seorang anak. Sekalipun ayah dan ibu dah pergi, kita tidak akan diturunkan pangkat melainkan kita sendiri yang mendahului. Kerana saat itu, terhenti sudah segala amal kita.
Firman Allah swt di dalam surah al-Ahqaf ayat 15 yang bermaksud, “Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah. Sedang tempoh mengandungnya beserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan. Setelah ia besar sampai ke peringkat dewasa yang sempurna kekuatannya dan sampai ke peringkat umut empat puluh tahun, berdoalah ia dengan berkata, “Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatmu yang engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redhai dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepadamu, dan sesungguhnya aku dari orang-orang Islam (yang tunduk dan patuh kepadamu).”
p/s : saya copy sebab kisah nie memberi kita byk teladan dan Arwah sgt positif... Al-Fatihah.... saya harap arwah dicucuri rahmat disana.... Amin...
p/s : saya copy sebab kisah nie memberi kita byk teladan dan Arwah sgt positif... Al-Fatihah.... saya harap arwah dicucuri rahmat disana.... Amin...
Ulasan
Catat Ulasan